TANJONG MALIM: Ranking Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam penarafan Ranking Universiti Dunia UI-Greenmetric naik pada kedudukan ke-176 dunia tahun ini berbanding kedudukan ke-203 pada 2020. 

KAMPUS Sultan Azlan Shah UPSI di Bandar Proton di Tanjung Malim, Perak

Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff melahirkan rasa bangga dengan pencapaian peringkat dunia untuk kali kelima bagi 2021 itu yang diumumkan semalam. 

Menurut beliau, lonjakkan ranking itu berikutan daripada keberkesanan pelan strategik UPSI 2021-2025 yang memberi penekanan khusus dalam kelestarian kampus. 

“Ranking ini adalah penanda aras kepada komitmen universiti di seluruh dunia dalam meningkatkan kelestarian kampus dan UPSI yang terletak di sisi Banjaran Titiwangsa yang indah permai memberi kelebihan dan selain pelbagai keistimewaan dari aspek pengurusan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, penarafan  berkenaan meliputi enam indikator utama iaitu persekitaran dan infrastuktur, tenaga dan perubahan cuaca, pengurusan sisa buangan, penggunaan air, pengangkutan dan pendidikan.

“Kejayaan UPSI menunjukkan komitmen berterusan terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar menerusi kepelbagaian aktiviti kelestarian kampus,” katanya.

UPSI memiliki dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang berkeluasan 85 ekar terletak berhampiran pekan Tanjung Malim manakala Kampus Sultan Azlan Shah yang berkeluasan 850 ekar pula terletak di Bandar Proton. 

– UTUSAN ONLINE

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)