• oleh: ERNI NORSYAHIRA BINTI ABU HANIPAH

Tanjong Malim 31 Oktober 2021 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) baru-baru ini telah menganjurkan webinar bertajuk Violence Against Women: Fight or Flee. Program ini di bawah anjuran Exco Sukan dan Rekreasi dengan kerjasama daripada pihak UiTM dan UKM. Program tersebut telah dilangsungkan pada 31 Oktober 2021 secara atas talian melalui platform Google Meet dan siaran langsung di laman rasmi Facebook UKLK.


YBHG. Datin Pazilah Yahaya selaku perasmi program.

Program tersebut telah dirasmikan oleh YBHG. Datin Pazilah Yahaya, selaku Penaung Persatuan Wanita UPSI. Menurut beliau, penganjuran webinar sebegini mampu menukar perspektif pemikiran sebahagian individu bahawa keganasan terhadap wanita sukar dibendung. “Wanita perlu peka dan prihatin dengan keadaan sekeliling serta tidak membiarkan diri mereka menjadi mangsa keganasan” jelasnya semasa merasmikan program Violence Against Women: Fight or Flee.


Saudari Izureen Natasha Binti Lukman selaku Pengarah Program memberikan ucapan.

Saudari Izureen Natasha binti Lukman selaku pengarah program dalam kenyataannya mengatakan bahawa kes keganasan terhadap wanita semakin meningkat saban tahun lebih-lebih lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Ini berdasarkan “Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa sepanjang Januari hingga Disember 2020, sebanyak 5260 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan”. Inilah punca titik tolak kenapa beliau ingin menganjurkan webinar seumpama ini.

Program yang dianjurkan melalui Kerjasama antara Majlis Mahasiswa Kolej, Kelab Taekwondo dan Persatuan Kakitangan ini melibatkan 3 buah universiti iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (Cawangan Kota Bharu). Sambutan yang diterima melalui siaran langsung di Facebook menunjukkan mendapat seramai 468 tontonan, 508 tanda suka (likes) dan 102 perkongsian (shares). Program yang berlangsung selama 3 jam itu melibatkan 2 slot perkongsian dari panel jemputan.


Inspektor Raja Nabilah Binti Raja Abdul Samad sebagai penceramah Slot 1
Encik Tuan Muhamad Syafiq sebagai penceramah Slot 2

Slot pertama berkaitan peruntukkan undang-undang di Malaysia itu telah disampaikan oleh Inspektor Raja Nabilah binti Raja Abdul Samad wakil dari Ibu Pejabat Polis daerah Muallim menjelaskan berkenaan hak pertahanan persendirian yang melibatkan tubuh badan dan harta benda. Menurut beliau, kes yang melibatkan pertahanan diri terhadap keganasan akan dihukumi berdasarkan situasi yang berbeza bagi setiap kes. Penerangan yang jelas dan lengkap oleh beliau telah memberi pendedahan yang baik kepada penonton dan peserta. Soalan-soalan yang diajukan turut dibahas dan diterangkan dengan baik oleh beliau. Ini telah mendapat pujian dikalangan penonton live tersebut.

Bagi slot teknik asas dan demonstrasi pertahanan diri, ia telah disampaikan oleh Encik Tuan Muhammad Shafiq bin Ibrahim yang merupakan jurulatih Kelab Taekwondo Generasi. Dalam perkongsian itu, beliau cuba menangkis perspektif negatif tentang seni mempertahankan diri dalam masyarakat. “Dalam era kemodenan ini, masyarakat kebiasaannya terlalu bergantung kepada alatan seperti pistol, pisau dan lain-lain sehingga mengendahkan kepentingan kemahiran seni mempertahankan diri”, jelasnya.

Secara keseluruhannya, webinar Violence Against Women: Fight or Flee ini sememangnya membuka minda individu dari pelbagai lapisan umur berkenaan dengan isu keganasan terhadap wanita. Webinar ini juga mampu menjadi pemangkin kepada mahasiswa dan masyarakat untuk sekurang-kurangnya mengetahui sedikit sebanyak berkenaan teknik mempertahankan diri selain mengetahui apakah undang-undang yang terguna pakai jika menghadapi ancaman atau gangguan terhadap diri mereka.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Penerbitan & Grafik Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI. Bekas wartawan majalah Utusan Karya SB dan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad. Jom menulis untuk e-Pena!

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)