• oleh: Prof Madya Dr Ghazali Din / Ammar Fathir Nazri

Tanjung Malim, 28 Oktober 2021: Pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara perlu dilakukan pelbagai pihak terutamanya oleh pemimpin negara agar matlamat pembinaan negara bangsa dan membentuk identiti kebangsaan berjaya dilaksanakan di negara ini.

Ketika menyampaikan Syarahan Perdana Professor  anjuran Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris  bertajuk “Peradaban Pendidikan Bahasa Melayu: Pembangunan Jati Diri Negara Bangsa”, Prof Dr  Abdul Rasid Jamian berkata segala teguran dan ketajaman pena berkesan dengan menggunakan bahasa Melayu.

Beliau berkata pendidikan Bahasa Melayu menerusi guru-guru di sekolah harus memberi penekanan kepada Konteks Budaya Belajar iaitu bagaimana cara menyampaikan ilmu kepada pelajar yang secara berhemah.

Berdasarkan pengalaman menjadi pensyarah Bahasa Melayu sejak tahun 1999 dan melahirkan ramai guru Bahasa Melayu, katanya,  guru perlu membimbing murid dengan lakuan bahasa, kesantunan dan budaya ilmu tinggi.  

Selain itu, katanya, kesantunan komunikasi dalam kalangan pensyarah atau pendidik menerusi proses interaktif yang menggunakan bahasa yang baik dengan pelajar demi membina keyakinan diri.

“Sebagai pendidik niat perlu betul  untuk melahirkan generasi yang holistik yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek.,” katanya.

Justeru, katanya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hasilnya kelancaran berkomunikasi, jangan segan silu dengan bahasa Melayu dan perlu diangkat di dalam atau luar negara.

Bagi Abdul Rasid, bahasa Melayu bukan sahaja bahasa kebangsaan sebagai alat penyatuan dan perpaduan, alat kreativiti insan membentuk kehidupan lebih baik, malah bahasa ilmu yang mengangkat ekonomi negara.

“Namun realitinya bahasa Melayu masih terpinggir di bumi sendiri yang menjadi cabaran kepada ahli bahasa, malah memerlukan kecaknaan kerajaan dan masyarakat,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)  yang selalu melakukan penambahbaikan dan pengukuhan terhadap bahasa Melayu, malah bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar dalam pendidikan.  

“Dalam pendidikan Bahasa Melayu, pembinaan peradaban menerusi bahasa Melayu perlu melewati semua bidang sebagai  bahasa pengantar termasuk dalam bidang perundangan dan  ekonomi.

Beliau berkata melalui sistem pendidikan, aktiviti jati diri yang tinggi, menerusi kurikulum atau kokurikulum,  ia memberi peluang untuk  belajar secara semula jadi demi  melahirkan generasi yang bertindak dengan bijak dan mampu menghadapi cabaran globalisasi .

Syarahan  sempena sambutan 100 Tahun UPSI – Maktab Perguruan Sultan Idris –Institut Perguruan Sultan Idris  itu disampaikan secara hibrid di  Fakulti Pembangunan Manusia , Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.  

Terdahulu, Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff  dalam ucapan perasmiannya  berkata apalah maknanya bangsa tanpa bahasa kerana bahasa mencerminkan bangsa.

“Saya menggalakkan kalangan akademia UPSI berkongsi ilmu dan pandangan  termasuk aspek bahasa sempena  sambutan 100 tahun UPSI , “ katanya.

Beliau berkata UPSI sedang  menggagaskan agar bahasa Melayu  meluas ke luar negara sebagai satu perjuangan dan inisiatif mengembangkan bahasa

Sementara itu, Dekan FBK, Prof. Madya Dr Mazura@Mastura Muhammad berkata Prof Dr Abdul Rasid Jamian melalui pengalaman yang panjang dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan syarahan dilaksanakan sebagai menghargai dunia kesarjanaan dan keilmuan beliau.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),  Prof Dr Suriani Abu Bakar.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)