Dalam merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia ke arah memperkasakan pendigitalan pendidikan di peringkat pengajian tinggi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengorak langkah dalam memperkenalkan inisiatif baharu kepada pensyarah dalam menjalankan program Pembangunan Profesional Akademia UPSI.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, program Pembangunan Profesional Akademi UPSI menawarkan pensijilan Postgraduate Certificate in Higher Education (PGCHE) melibatkan sepuluh orang pensyarah wakil setiap fakulti bagi mengikuti kursus jangka pendek selama lapan minggu anjuran The Derek Bok Centre fo Teaching and Learning, University of Harvard bermula pertengahan bulan Oktober hingga Disember 2021.

“UPSI sentiasa komited meningkatkan penarafan universiti di peringkat antarabangsa dengan menjalankan pelbagai inisiatif berkaitan. Melalui kerjasama strategik dengan pusat pengajian ternama dan terbaik di peringkat global, diharapkan membantu misi menjadikan UPSI unggul ke tangga 100 terbaik dunia,” jelasnya dalam suatu kenyataan. Rekod terkini UPSI di tangga 176-200 di peringkat The Time Higher Education (THE).

Pelaksanaan program ini bertujuan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada pensyarah untuk melibatkan diri secara mendalam lagi aktif dan membuat refleksi berterusan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran serta pentaksiran, mereka bentuk portfolio serta merancang kerjaya sebagai pengajar di peringkat pengajian tinggi.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Marzita binti Puteh, program ini dibentuk khusus kepada pensyarah yang dipilih melalui tapisan di peringkat fakulti dan universiti bagi memilih mereka yang cemerlang dalam pengajaran dan pembelajaran serta banyak memberi sumbangan kepada universiti sepanjang perkhidmatan. Menurut beliau lagi, program intensif dari Universiti Harvard ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pengantarabangsaan baharu yang dirangka dan disokong oleh UPSI.

Program ini memperkenalkan lapan modul yang melibatkan pembelajaran dalam talian dan pembelajaran kendiri serta bimbingan dari tutor dan penyelia yang dilantik dalam pelaksanaan modul.

Profesor Madya Dr. Raja Nor Safinas binti Raja Harun, Dekan Institut Pengajian Siswazah UPSI turut memperakui peluang pensijilan yang diberikan kepada pensyarah UPSI ini bakal meningkatkan kompetensi pensyarah berkenaan dalam strategi penyampaian pengajaran dan pembelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Profesor Madya Dr. Raja Nor Safinas binti Raja Harun, Dekan Institut Pengajian Siswazah UPSI

Pengarah Pusat Pembangunan Akademik (PPA) UPSI, Profesor Madya Dr. Maizatul Hayati binti Mohamad Yatim menegaskan hasrat UPSI bukan sahaja untuk meningkatkan kelayakan profesional serta pengalaman pengajaran dalam kalangan pensyarah UPSI, malah program ini turut menyenaraikan institusi pengajian tinggi yang terkemuka (Top 50 QS Ranking) dari luar negara. Menurut beliau, PGCHE dari Universiti Harvard merupakan universiti pertama yang terlibat dalam program Pembangunan Profesional Akademia UPSI dalam bentuk pengajian ikhtisas.

Pengarah Pusat Pembangunan Akademik (PPA) UPSI, Profesor Madya Dr. Maizatul Hayati Mohamad Yatim

Seramai sepuluh orang pensyarah yang berjaya dan berpeluang mengikuti program PGCHE dari Universiti Harvard yang bermula dari bulan Oktober sehingga Disember 2021. Mereka adalah Profesor Madya Dr. Nur Ikhwan bin Mohamad (Fakulti Sains Sukan & Kejurulatihan), Profesor Madya Dr. Som Cit a/p Si Nang (Fakulti Sains & Matematik), Dr. Mohd Azlan bin Mohammad Hussain (Fakulti Teknikal & Vokasional), Dr. Muhammad Fadhil Wong bin Abdullah (Fakulti Seni, Komputeran & Industri Kreatif), Dr. Siti Nor Amalina binti Ahmad Tajuddin (Fakulti Bahasa & Komunikasi), Dr. Grace Annammai a/p Gnana Piragasam (Fakulti Pembangunan Manusia), Dr. Samsuddin bin Abd Hamid (Fakulti Sains Kemanusiaan), Dr. Christine a/p Augustine (Fakulti Muzik & Seni Persembahan), Dr. Nor Hasnida binti Che Md Ghazal (Fakulti Pembangunan Manusia) dan Dr. Jessnor Elmy binti Mat Jizat (Fakulti Pengurusan & Ekonomi).

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Penerbitan & Grafik Korporat, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI. Bekas wartawan majalah Utusan Karya SB dan akhbar Utusan Melayu (M) Berhad. Jom menulis untuk e-Pena!

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)