Oleh : Muhammad Firdaus bin Ahmad Idris (Pelajar Praktikal Universiti Pendidikan Sultan Idris)

“Setiap amalan yang dilakukan anak Adam akan dilipatgandakan, tindakan yang baik akan dilipatgadakan pahalanya hingga 700 kali lipat. Allah SWT berfirman: Dengan syarat berpuasa yang dilakukan karena Aku (Allah) maka Aku akan memberinya pahala. Karena mereka meninggalkan keinginannya demi Aku.” (HR. Muslim)

Berdasarkan petikan hadis di atas, aktiviti berpuasa merupakan hal yang mulia dan sangat digalakkan untuk diamalkan terutama kepada umat islam secara amnya. Kebiasaannya bulan ramadhan merupakan bulan yang paling dinanti dan dirindui oleh setiap umat islam di seluruh dunia akan tetapi tahukah anda bahawa puasa juga boleh dilakukan di luar bulan ramadhan dan mempunyai 1001 rahsia yang baik untuk diri kita. Aktiviti berpuasa juga telah diiktiraf oleh ahli sains bahawa ia merupakan aktiviti yang bagus untuk badan dan perlu diamalkan oleh setiap masyarakat. Berikut merupakan rahsia puasa dari segi kesihatan fizikal, emosi dan mental serta spiritual manusia.

Dari segi kesihatan fizikal, puasa dapat meningkatkan tahap kesihatan kepada daya tubuh badan manusia. Hal ini kerana organ penghadaman di dalam badan manusia memerlukan waktu untuk berehat kerana telah bekerja keras sepanjang hari dan membantu badan untuk menumpukan kepada membersihkan sisa toxic yang ada di dalam tubuh. Proses pembuangan sisa toxic di dalam badan manusia dikenali sebagai detoksifikasi dan ia merupakan proses yang sangat penting untuk tubuh kita. Sebagai contoh, mengikut artikel yang dikeluarkan oleh Astro Awani yang bertarikh 4 julai 2014, seseorang akan mengalami gejala seperti mulut berbau, peluh berbau, kuit kering bersisik, gatal-gatal pada kulit, air kencing pekat dan berbau, lidah kelat dan sebagainya. Ini semua merupakan petanda bahawa tubuh sedang membersihkan toksin dalam badan. Oleh yang demikian, tahap bahan toxic yang berkurangan di dalam badan akan membantu mencegah pelbagai penyakit bahaya seperti kencing manis dan sekali gus meningkatkan daya tahan tubuh badan kita.

Seterusnya, puasa juga boleh membantu kita untuk lebih mengawal dan melatih emosi dan mental kita. Dengan berpuasa, kita mampu untuk mendidik emosi supaya mampu menahan kemarahan dan sentiasa tenang. Hal ini kerana pengambilan gula yang tinggi boleh mengurangkan kapasiti sistem imun yang perlu dalam pengurusan stress seseorang dan secara tidak langsung menjadikan seseorang itu mudah marah. Sebagai contoh, dengan berpuasa kita akan membantu memberikan ruang untuk sistem badan kembali stabil dengan berlakunya pengurangan gula di dalam darah dan menstabilkan kembali tahapnya di dalam badan sekaligus menjadikan minda lebih tenang. Hal ini berlaku kerana faktor pemakanan seharian yang penuh dengan gula dan tidak seimbang telah ditinggalkan dan menjadikan seseorang itu sihat dan tidak tertekan dengan pelbagai jenis penyakit seperti diabetes akibat dari diet yang tidak seimbang. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa dengan berpuasa, kita akan mudah untuk mengawal perasaan dan emosi terutamanya kemarahan.

Akhir sekali, puasa juga dapat membantu membentuk keperibadian dan spiritual manusia yang baik. Dalam agama islam, amalan berpuasa dapat mendidik manusia untuk menjaga konsep hubungan dengan penciptanya dan juga menjaga hubungan dengan sesame manusia. Hal ini dapat kita lihat pada peningkatan ibadah dan ahlak yang berlaku terutamanya di bulan Ramadhan. Dengan berpuasa, ahlak kita akan didik supaya sentiasa bersyukur dan sentiasa peka untuk membantu golongan yang memerlukan. Hal ini dapat mendidik manusia supaya tidak berlaku sombong dan terhindar dari sifat mazmumah seperti sombong dan dengki. Dengan melakukan amalan ini secara tidak langsung mampu menyucikan diri dan membersihkan jiwa serta mewujudkan sifat belas ihsan terhadap manusia. Amalan ini juga akan membina self control iaitu meninggalkan dan membendung nafsu dan sekaligus meninggalkan perbuatan yang keji dan dilarang oleh agama. Jelaslah bahawa amalan berpuasa mampu membentuk diri seseorang itu untuk menjadi lebih baik.

Kesimpulannya dapat dinyatakan bahawa amalan berpuasa mempunyai 1001 kebaikan kepada manusia baik dari aspek jasmani, rohani dan emosi. Dengan melakukan amalan ini dengan kerap, kita mampu untuk mendidik diri agar sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberikan dan menjadikan diri kita lebih sihat dan cerdas. Hal ini akan membantu membina jati diri insan yang baik dan secara tidak langsung meningkatkan kualiti ummah dan negara yang tercinta.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)